Thursday, July 19, 2012

SEJARAH

SEJARAH PENUBUHAN SKAB

Betapa perlunya pelajaran untuk mengelakkan anak-anak yang masih buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis adalah menjadi asas kesedaran dan timbulnya satu pakatan ibu bapa di kampung ini untuk mencari guru, walaupun hubungan luar pada masa itu sungguh sukar. Dengan berkat ketabahan, seorang guru telah ditempatkan di kampung ini. Guru tersebut ialah Allayarham En Pida yang dibawa oleh Allayarham En Abu Bakar bin Hussin (Imam kampung ketika itu). Murid-murid pada masa itu lebih kurang 20 orang. Difahamkan pada masa itu ialah tahun 1907 dan tempat belajarnya ialah di sebuah bangunan yang dikenali sebagai ‘kelab’ yang didirikan atas sebidang tanah kepunyaan Allayarham En Mahmud bin Kamaluddin secara bergotong-royong. Guru ini dibiayai oleh orang kampung.

Tempat Allayarham En Pida kemudiannya diambil alih oleh Allayarham En Daim di mana gajinya juga dibiayai oleh orang kampung.

Atas usaha gigih orang-orang kampung untuk menimba ilmu pengetahuan dalam tahun 1917 usaha ini telah mendapat perhatian kerajaan dan terus ditempatkan seorang guru khas iaitu En Haron dan gajinya dibayar oleh kerajaan. Peningkatan murid-muridnya juga ketara iaitu antara 30 hingga 40 orang. 

Setiap yang baru tidak akan kekal, begitu juga dengan bangunan kelab ini yang telah menimpa nasib yang buruk. Bangunan yang didirikan oleh orang-orang kampung ini telah roboh. Dengan semangat yang gigih sebuah bangunan baru telah dibina di atas tanah kepunyaan Allayarham En Abu Talib bin Abd Latif (tapak Pejabat Majlis Daerah yang ada sekarang) dalam tahun 1924. Guru besar ketika itu ialah Allayarham Tuan Hj Mohd Yassin bin Hj Abd Wahab yang dikenali dengan panggilan Cikgu Darmin. Penolongnya pula ialah Allayarham En Ismail bin Abu Bakar.

Kerajaan telah mula sedar ketika itu bahawa sebuah bangunan yang kekal perlu dibina. Sebuah bangunan sekolah telah dibina di atas tapak tanah tempat kelab lama (kepunyaan A.Y. En Mahmud bin Kamaluddin) pada tahun 1936 berpindahlah murid-murid ke bangunan yang baru dibina ini. Dapatlah murid-murid belajar dengan selesa. Di sinilah tapak Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi yang ada sekarang.

SEJARAH NAMA SEKOLAH DI PILIH

Nama Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi diambil sempena nama kampung tempat tersebut. Terdapat beberapa cerita tentang asal usul nama Kampung Ayer Baloi.

(1) Ayer Baloi dibuka pada 6 Zulka’idah 1276 oleh Tuan Hj Mohamad Tahir bin Kesang atau lebih dikenali dengan panggilan Dato’ Penghulu @ Pawang Mohamad Tahir yang datang dari Kesang, Muar. 

Beliau berketurunan Penghulu Kesang bin Lebar yang telah berpindah ke Teluk Belanga, Singapura. Zuriat-zuriatnya yang ada di Kesang ialah Penghulu Laji anaknya Shamsu hinggalah ke Penghulu Abdulah Serom. Manakala di Teluk Belanga pula terdiri daripada Panglima Jabar bin Kesang yang telah bersama-sama dengan Almarhum Temenggung Ibrahim mengamankan perompak pada masa dahulu.

Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggung Ibrahim telah mengurniakan titah kepada Tok Penghulu Mohamad Tahir. “Kita memberikan kepada si Tahir dan saudara-saudaranya akan tempat ini dari Benut - Ayer Baloi – Pontian Besar, jangan sesiapa melarangnya, itulah adanya.”
Menurut sejarah, kampung ini ada dua tempat perhimpunan. Salah satunya di Kampung Duku (tempat ini banyak tanaman buah duku) dan satu lagi di Kampung Rambai (tempat ini terdapat tanaman buah rambai).

Mengikut ceritanya, di Kampung Rambai ada seorang gadis yang cantik manakala di Kampung Duku terdapat seorang pemuda yang tampan dan tegap tubuh badannya. Dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, satu ikatan rasmi pertunangan telah dibuat mengikut adat istiadat dahulukala. Sebelum disatukan, pihak gadis mengkehendaki pengantin lelaki keluar negeri bagi melengkapkan syarat kelakiannya sebagai raja rumah tangga.

Pergilah pengantin lelaki ini meninggalkan kampung menuju ke Pulau Riau hingga tiga purnama. Di sana dia menghadapi seorang guru yang masyhur lagi rasyid serta bijak bergelar Panglima Kuntau Silat.

Meringkaskan cerita, tiada kedengaran sebarang khabar tentang pemergian pengantin lelaki itu. Maka datanglah pula seorang lelaki lain meminang gadis tersebut dan tanpa usul periksa, pihak gadis telah menerima pinangan itu.

Maka tibalah masanya untuk pulang ke kampung halaman dengan tujuan mengahwini tunangnya. Tetapi setibanya di kampung, kebetulan pada hari itu berlangsungnya perkahwinan tunangnya dengan pemuda lain.

Adat darah muda, sebarang nasihat tidak diterima lalu dia terus menuju ke rumah tunangnya yang sedang bersanding itu. Di situ berlakulah pergaduhan yang amat dahsyat antara kedua pengantin lelaki dan suasana yang cerah dan gembira bertukar menjadi gelap dan menitislah darah di mana ketiga-tiga pengantin itu telah mati.

Yang masih hidup hanyalah ibu bapa kepada pengantin lelaki yang pertama, seraya berkata, “Darah yang sebak inilah Ayer, dan perbuatan yang menuntut bela itu sebagai berbaloi.” Dari situlah timbulnya nama Ayer baloi yang ada sekarang ini.

(2) Memang sudah termashyur dalam makna-makna sejarah bahawa sungai-sungai itu adalah jadi jalanraya yang diberi nama “Batang Hari”. Mereka duduk di kuala-kuala sungai dengan air masin sebagai air mandi dan juga hal-hal yang lain.

Dari masa ke semasa mereka berpindah ke hulu-hulu hingga sampailah di suatu kawasan yang airnya tawar. Oleh itu, orang ramai yang mulanya mendiamai di kuala-kuala sungai telah berpindah ke hulu-hulu.

Sempena dengan air yang biasanya ‘masin’ dan sekarang telah menjadi ‘air tawar’ maka mereka berkata , “Berbaloi kita mendapat air tawar.”

Dengan yang demikian tempat itu dinamakan “Ayer Baloi”, iaitu pekan Ayer Baloi yang ada sekarang. Tempat ini dulunay disebut “Tambor” (anak air ditempat itu telah tambur atau tohor).

Begitulah ringkasan cerita kedua yang berlainan sempena dengan nama “Ayer Baloi” diperolehi.

(3) Lebih kurang 460 tahun yang lalu, setelah kerajaan Melayu Melaka dikalahkan oleh Portugis, ramai di antara pembesar-pembesar dan orang kebanyakan dari negeri Malaka meninggalkan bumi Melaka dengan sebab mereka tidak mahu diperintah oleh penjajah.

Satu rombongan daripadanya yang diketuai oleh seorang pembesar yang berpangkat Penghulu serta anak buahnya telah belayar menuju ke selatan melalui Selat Melaka.

Apabila angkatan mereka sampai di kuala sungai Ayer Baloi sekarang, Nakhoda kapal mereka telah memberitahu Penghulu bahawa sungai itu elok dan besar pula kualanya (boleh dimasuk pada waktu pasang dan surut). Tempat ini sangat elok untuk penempatan. Apabila mendengar kata nakhoda demikian, Tok Penghulu meminta pawang membuat ramalan berkenaan tempat itu. Pawang pun membakar kemenyan dan menurut pendapatnya tempat itu sangat sesuai untuk menjadi tempat kediaman.

Selepas itu bahtera mereka menghala haluannya menuju ke darat. Apabila sahaja bahtera itu masuk ke kuala sungai, kebetulan kuala sungai itu tambur dan nakhoda pun memberitahu Penghulu.

“Sungai ini tambor Dato.”

“Sungai tambor rupanya.” Jawab Penghulu.

Kemudian tempat itu dinamakan ‘Sungai Tambor’.

Apabila angkatan mereka sampai ke darat, masing-masing mula membuat kampung dengan beberapa kali beralih tempat ke setempat mengikut persesuaiannya.

Apabila kampung mereka telah jadi, tersebutlah kisahnya anak lelaki Cik Malim yang bernama Jantan dan ibunya bernama Santun telah meminang anak Bujang Jangga dan Dang Gimbab yang bernama Dara. Mengikut adatnya pada zaman itu, apabila seorang teruna telah bertunang, hendaklah pergi menuntut ilmu dunia dan akhirat di luar kampung itu.

Perjanjian yang dibuat antara kedua pihak ialah selama setahun. Si Jantan tidak balik ke kampungnya hinggalah tahun ke tiga. Akhirnya satu perundingan telah diadakan antara kedua belah pihak di hadapan pembesar-pembesar kampung waktu itu. Mengikut keputusan, pertunangan ini telah dibatalkan dan bolehlah pihak perempuan menerima lamaran orang lain.

Tidak lama kemudian, si Dara telah dipinang oleh seorang pemuda bernama Awang. Apabila sampai masanya majlis perkahwinan pun diadakan. Jantan yang dikatakan hilang itu, telah balik semula ke kampungnya. Dia hairan melihat rumah si Dara mengadakan majlis kesukaan yang dia tiada mengetahui akan tujuannya. Dia pun bertanyakan hal ini kepada ibunya. Ibunya menerangkan satu persatu apa yang terjadi selepas pemergiannya.

Dengan hati yang marah Jantan pun mengambil sundang bapanya lalu pergi ke rumah Dara yang kebetulannya sedang bersanding bersama Awang. Dengan tidak membuang masa, Jantan telah menyerbu ke pelamin untuk membunuh si Awang. Tetapi dengan kepintaran si Awang,sepantas kilat dia pun mencabut keris yang telah tersedia di pinggangnya. Dia melompat terjun dari atas pelamin dan terjadilah satu pertarungan antara keduanya. Dalam hal kelam kabut, datanglah Tok Penghulu, Tok Pawang serta kedua orang tua Awang dan Jantan untuk meleraikan pergaduhan itu. Mereka menerangkan segala-galanya.

Apabila mendengar demikian, Jantan pun insaf dan mengambil keputusan meninggalkan bumi Tambror.

Pada hari raya selepas itu, telah diadakan satu majlis doa arwah dan doa selamat di masjid kampung itu. Di dalam majlis itu, Tok Penghulu telah memberi ucapan di antara lain berbunyi,
“Dengan berkat rajin serta sabar dan bersatupadu serta saling mengerti antara kita sama kita, kampung kita telah jadi, dan pertelingkahan yang berlaku di antara Jantan dan Awang telah dapat kita selesaikan dengan baik, sebab itu berbaloilah kita sekarang.”

Maka anak buah yang mendengar pada waktu itu dengan serentak mengangkat tangan ke atas serta menyebut “BERBALOI DATO!”

Setelah menyampaikan ucapan Tok Penghulu telah memberi peluang kepada anak buahnya untuk bertanya. Salah seorang darinya telah mengatakan bahawa kampung itu belum bernama dan hanya memakai nama Sungai Tambor sejak dari tempat itu ditemui. Dia telah mencadangkan perkatan ‘Baloi’ dijadikan nama kampung itu. Cadangan itu telah mendapat sambutan sebulat suara dan kampung itu dinamakan Kampung Baloi.

Seorang lagi anak buahnya bangun dan mengatakan bahawa kampung itu setiap tahun akan mengadakan majlis pulih semangat. Tok Penghulu telah mendapat persetujuan dari Pawang untuk acara itu pada malam berikutnya. Setiap orang membawa air dan berkumpul di hadapan rumah Tok Penghulu untuk acara tersebut (membela Kampung Baloi). Akhirnya air yang dibawa oleh penduduk kampung seorang sesekol (tempat air yang dibuat daripada tempurung kelapa) disatukan namanya dengan Kampung Baloi dan menjadi “AYER BALOI”.

Kesimpulannya perkataan ‘Baloi’ datangnya daripada ucapan Dato’ Penghulu dan ‘Ayer’ dari permintaan Tok Pawang untuk membela kampung itu.